Anekdot Jalanan oleh Zainal Rashid Ahmad

You are currently viewing Anekdot Jalanan oleh Zainal Rashid Ahmad

Kali ini saya nak kongsi satu naskah karya Zainal Rashid Ahmad. Sejujurnya saya tidak pernal kenal nama ini sebagai penulis. Bilamana terlintas di Tiktok saya, terus saya terpaku dengan gaya pemikiran dan lontaran kisah dan pendapat yang diutarakan. Bagi saya itu adalah ‘feed’ yang saya dambakan di dalam longgokkan kandungan melondehkan dan sampah dalam Tiktok.

Buku ini berkisar tentang pengalaman yang dilalui oleh ZRA sendiri di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur sejak zaman beliau meningkat remaja. Menyulusuri garis kehidupan di Pasar Chow Kit, Masjid India, Kampung Baru, Sungai Bunos, Bangunan Komart, Panggung Odeon, Lorong Haji Taib sehingga ke Bukit Bintang. Ia bukan sekadar cerita, ia adalah perjalanan peribadi yang bagi saya sangat mahal. Pertembungan masa lalu dan masa kini dalam sebuah kisah perubahan yang memerlukan ketabahan. Buku ini mengajak anda menjelajah sisi kehidupan satu komuniti yang sering diabaikan.

Dari suasana pasar yang sibuk sehinggalah ke perjuangan senyap sisi gelandangan, penjaja, ‘survivor’, ZRA mendedahkan kisah-kisah yang tidak pernah diceritakan yang membentuk Kawasan ikonik Kuala Lumpur. Setiap helaian demi helaian, anda akan terseret ke dalam kehidupan seharian mereka, merasa kesusahan dan mendengar harapan mereka. Menitis air mata saya kala membaca saat ZRA membawa anak-anak kaki lima menjamu selera di restoren Nasi Arab di kawasan Kampung Pandan. Merasakan nikmat merasa makanan ‘dibalik kaca’ yang bagi saya sangat terkesan kerana  saat anak-anak saya dapat menikmati apa sahaja makanan yang mereka inginkan, ada segolongan yang hanya mampu melihat………

Anekdot Jalanan lebih daripada sekadar memoir; ia adalah bukti kepada semangat manusia, ia adalah sebuah catatan yang akan membuatkan anda bukan sahaja ingin membaca, tetapi juga ingin memahami, berhubung, dan mungkin, membuat perubahan. Kalau anda pernah tertanya-tanya tentang sisi tersembunyi sebuah bandar yang anda sangka anda sudah kenal, maka buku ini akan mengubah perspektif anda dan mungkin akan membangkitkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap kehidupan yang terjalin dalam struktur Kuala Lumpur.

Leave a Reply